Ke Ipoh dengan adik

Perancangan nak ke Ipoh tak lama, cuma saya perlu tanya adik saya samada dia free atau tidak pada tarikh trip itu. Pada mulanya saya ajak tiga orang kawan satu pejabat yang agak rapat dengan saya untuk girls’ weekend trip ni. Semua mereka dah berkahwin, tapi saya agak kalau setakat sehari mungkin tak ada masalah. Tapi kesemuanya menolak atas sebab keluarga. Saya mahu buat solo trip saya yang pertama tapi kemudian saya fikir kenapa tak ajak adik perempuan saya saja?

Saya tempah tiket ETS dan penginapan satu malam di Hotel Pi Ipoh beberapa hari lebih awal. Biasalah, kalau pergi dengan adik yang masih belajar, mestilah kakak yang dah bekerja ni yang perlu sponsor semua perbelanjaan kan? 

Train berlepas pada pukul 8.39 pagi dengan ETA pada pukul 12.30 tengah hari. Keretapi terawal yang bergerak dari bandar saya. Sampai di stesen KTMB Ipoh, saya sangat suka dengan design dan architecture bangunan lama stesen ni. Bangunan warna putih dengan design ala-ala bangunan Inggeris lama tapi masih dijaga dengan agak baik walaupun adalah sikit-sikit kesan dimakan dek masa.

Cuaca memang sangat baik hari ni walaupun hujan sejak beberapa hari lepas. Saya dan adik berjalan kaki melintasi jalan besar yang sibuk di depan stesen dan beberapa meter dari stesen, kami nampak menara memorial birch yang merupakan sebuah menara jam di hadapan sebuah medan selera. Adik dah mula lapar, tapi saya mahu terus ke kawasan Concubine Lane untuk cari makan tengah hari.

Berada di Ipoh mengingatkan saya pada Georgetown. Saya lebih kerap ke Georgetown dulu kerana lebih dekat dengan bandar saya, tapi sekarang dah agak jarang. Sebenarnya baru bulan lepas saya ke Ipoh untuk urusan kerja, tapi biasalah kalau dah datang untuk bekerja, tak ada banyak masa untuk jalan di kawasan sekitar.

Kali ini, saya tak bercadang untuk pergi jauh dari pusat bandar. Saya dan adik berjalan melalui Lorong Panglima sehingga sampai di BookXcess. Sebagai peminat buku, saya takkan lepaskan peluang untuk masuk ke setiap kedai buku yang saya jumpa di sepanjang trip saya walaupun tak beli apa-apa. Saya suka kedai buku ni sebab saya perlu menuruni tangga ke bawah tanah. Dengar kata, bangunan BookXcess ni dulu sebuah bank jadi design kedai ni menyerupai bilik simpanan bawah tanah. Ada juga muzium Yasmin Ahmad yang mempamerkan poster-poster filem macam filem Sepet dan beberapa keping gambar foto yang diambil sendiri oleh beliau.






Sebenarnya saya tak berapa tonton filem beliau dulu. Mungkin ada beberapa tapi tak semua. Tapi saya suka tengok gambar-gambar yang beliau ambil. Ini kunjungan pertama saya ke muzium pada tahun ni. Saya memang cadang nak melawat lebih banyak muzium, tapi selalu tak berkesempatan. Tapi mungkin saya sendiri yang cari alasan untuk tak ke muzium sebab saya lebih prefer ke tempat lain. Nak seribu daya, tak hendak seribu dalih kan? Tapi, sekarang saya rasa mahu melawat lebih banyak muzium dalam dan luar Malaysia.

Berjalan-jalan di Concubine Lane pun agak refreshing. Saya suka tengok manhole di atas jalan raya  sekitar kawasan ini. Bagi saya, Ipoh ni walkable city. Atau sekurang-kurangnya di kawasan yang selalu dikunjungi pelancong. Mudah, agak redup dan banyak kedai yang menunjukkan imej Ipoh tu sendiri. Architecture bangunan itu sendiri juga menarik dan pihak berkuasa dan owner bangunan bagus dalam usaha mengekalkan bangunan seoriginal yang mungkin.





Lunch di Plan B dan menikmati croissant dan kopi di Chloe.co. Selalunya bila trip bawa adik-beradik ni, saya tak kisah sangat nak berbelanja lebih untuk makanan. Rasa puas dapat tengok adik-beradik makan makanan yang tak selalu dimakan di rumah. 


Petang sikit, check in di Hotel Pi Ipoh. Berjalan dalam 15 minit ke hotel dari kawasan sekitar Concubine Lane menyeberangi jambatan sungai Kinta yang sangat mesra pejalan kaki. Cuaca panas tetapi mudah untuk berjalan walaupun agak menakutkan kalau nak melintasi jalan utama sebab kekurangan zebra crossing. Atau mungkin di kawasan itu saja yang sukar, saya pun kurang pasti.

Saya tak banyak berbual dengan orang tempatan. Mungkin sebab bila berjalan dengan adik, saya lebih tumpu kepada destinasi dan tempat yang kami hendak kunjungi. Cuma sempatlah juga bersembang dengan pemandu Grab semasa dalam perjalanan ke Pasar Malam Ipoh malam itu untuk mencari makan malam. Katanya malam itu saja dia bawa beberapa penumpang dari negeri yang sama dengan saya. Sebabnya, hari minggu tu tiga hari sebab ada cuti tambahan jadi ramai orang ambil peluang untuk keluar berjalan-jalan semasa hujung minggu yang lebih lama.

Esoknya, keretapi kami berlepas dari stesen Ipoh jam 11 pagi lebih sebab delay sedikit selama setengah jam lebih. Sempat saya bawa adik kembali ke kawasan Concubine Lane kalau dia mahu membeli oleh-oleh sedikit untuk dibawa balik.

Trip ini sangat santai, dan lebih kepada trip bonding saya dengan adik. Dia sedang menuntut dalam semester 2 di sebuah politeknik dan saya kerap dengar dia merungut tentang kelas dan belajar. Dia ada beritahu saya, dulu dia rasa kurang rapat dengan saya sebab jarak usia kami yang agak jauh dan dia rasa dia tidak begitu kenal dengan saya sebab saya jarang cerita tentang kerja atau life saya dengan dia. Lagipun, saya dah mula tinggal di luar sejak tingkatan 1 sebab masuk ke sekolah berasrama penuh. Saya cuma balik ke rumah keluarga pada hujung minggu yang saya lapang atau bila ada cuti yang panjang. 

Dia lebih rapat dengan adik-beradik yang lain berbanding saya. Memang diakui juga saya jarang sangat bercerita, venting atau merungut di depan adik-adik. Kami semua rapat, tapi saya bukan seorang yang terbuka untuk bercerita terlalu banyak tentang apa yang saya rasa terutamanya perasaan yang negatif. Saya lebih banyak meluah dalam morning page yang saya mula menulis sejak tahun lepas yang saya rasa sangat banyak membantu untuk jadi manusia yang tenang dan positif. 

Tapi, sekurang-kurangnya ada bonding time dengan si bongsu tu pun saya rasa sangat bersyukur. Alhamdulillah.

Comments

Popular posts from this blog

Camping di Bukit Perangin campsite

Library visit at lunch hour