Solo camping # Solo camping pertama di Camping @ Permaipura

~ 21 Julai 2023

Banyak benda yang saya fikirkan sebelum nak mula solo camping. Antaranya ialah keselamatan diri, samada saya berani atau tidak untuk solo camping dan barang-barang camping cukup atau tidak. Saya mulakan dengan  menaip campsite dalam google map dan saya dapat lihat beberapa tapak camping berdekatan dengan tempat saya. Lepas tu saya mula baca review di google dan semak website campsite itu jika ada.

Disebabkan ini ialah solo camping saya yang pertama, saya tak mahu pergi ke campsite yang terlalu jauh dan yang tak ramai orang. Saya cari campsite yang beginner friendly, yang ada pagar atau tak bebas untuk orang lain keluar masuk dan tapak yang ada lampu pada waktu malam. Akhirnya saya jumpa satu tapak camping yang saya rasa agak sesuai untuk solo camper yang baru mula nak berjinak-jinak dengan camping iaitu di Camping @ Permaipura di Bedong, Kedah. Saya buat tempahan dengan pemilik campsite, Mr Ken untuk bermalam satu hari pada  21 Julai 2023 (Jumaat) dengan harga RM 50 untuk satu tapak kosong yang ada bumbung. 

Pada hari kejadian, saya pastikan benda-benda asas saya mencukupi seperti khemah, kerusi camping, meja lipat, dapur, mestin dan peralatan memasak yang lain. Saya memandu ke tapak yang hanya kurang satu jam dari rumah saya dan sampai ke tapak pada jam 5.30 petang. Campsite ni sebenarnya berada dalam golf and country club dan betul-betul di hadapan padang golf. To my surprise, saya seorang saja yang menyewa tapak pada malam itu, jadi saya dapat seluruh campsite untuk saya seorang.

Mr Ken beritahu saya biasanya dia tak terima solo camper di sini sebab dia akan menyewakan tapak kepada group campers dalam kumpulan yang kecil. Di tapak ni lengkap dengan dapur dan peralatan memasak (peralatan memasak untuk muslim juga disediakan berasingan sebab Mr. Ken cakap dia jarang dapat tempahan campers Muslim di sini), ada kolam renang kecil, BBQ pit, kerusi meja, kipas dan lampu dan bilik mandi yang bersih. Ada juga khemah yang dah siap dipasang untuk campers yang tak bawa khemah tapi harga lain lah. Ada satu rumah chalet bawah tanah dan bas sekolah yang diubah suai jadi tempat tidur. 

Saya mula pasang khemah dan kerusi meja sendiri dan saya ambil masa yang agak lama untuk pasang khemah tanpa bantuan sesiapa. Berpeluh jugaklah. Saya terlupa bawa ground sheet dan tikar lapik, tetapi mujur ada simen di bawah bumbung. 


Selepas selesai, saya mula masak untuk makan malam. Saya masak nasi menggunakan mestin (mujur nasi masak dengan elok) dan malam itu saya masak beef black pepper rice dan teh o panas. Saya sediakan bahan-bahan memasak dan perap daging dari rumah.



Sunset di tepi padang golf cantik juga rupanya. Saya dapat dengar bunyi cengkerik dan burung berlatar belakangkan gunung jerai, padang golf dan buggy yang lalu lalang di hadapan campsite. Malam itu, Mr Ken bermurah hati datang tidur dalam salah satu bas sekolah yang diubah suai tu untuk teman saya supaya saya tak rasa takut duduk di campsite sorang-sorang. Sempat saya berbual dengan dia semasa makan malam dari topik macam mana dia mula buka campsite tu sampailah topik bagaimana dia jumpa dengan wife dia masa belajar di universiti dulu.

Hujan turun agak lebat pada tengah malam lepas saya tidur sampailah ke pagi. Saya terpaksa check out awal pagi sebab ada urusan yang tak dapat dielakkan dan rasa agak terkilan sikitlah sebab tak sempat nak betul-betul rasa suasana pagi di situ.

Pengalaman kali pertama solo camping ni sangat berharga. Banyak benda yang saya belajar untuk buat sendiri. Saya paling enjoy masak sendiri makan malam dan makan sambil melihat langit malam. Saya dapat banyak input tentang camping bila berbual dengan Mr Ken juga. Saya rasa saya dan terbiasa dengan duduk seorang diri dan being alone does not bother me at all. Saya tahu saya boleh menikmati solo camping dan lepas ni, saya mahu cuba camping di campsite yang lain pula. 



Comments

Popular posts from this blog

Camping di Bukit Perangin campsite

Ke Ipoh dengan adik

Library visit at lunch hour